seLamaT daTanG

sebuah cerita untuk diceritakan

Sunday, December 7, 2014

Ziarah Ilmu

Alhadmulilah, petang sabtu kelmarin bertepatan dengan 6 Disember 2014 berkesempatan melakukan ziarah ilmu ke rumah ayahanda Hj Mohammad Abidin di Tanjung Rambutan. Pemergian kali ini bukan bersendirian tapi turut ditemani oleh En Dasuki.

Perancangan telah diatur sekian lama, tapi sering dibatasi dengan kesempitan masa. Tapi alhamdulilah, kelmarin adalah harinya.

Bagi sahabat-sahabat belantara, nama Hj Mohammad sudah terkenal khasnya di belantara Pos Tuel dan Kuala Mu,bahkan beliau juga antara tulang kuat dakwah IOA di negeri Perak dan Kelantan. Dengan hasrat mengukuhkan silaturahmi,kami bertandang ke rumah beliau. Alhamdulilah kami dicukupkan dengan kesempatan yang ada dengan pengisian ilmu daripada beliau.

Yang muda datang dengan kudrat dan yang tua dengan   kearifan dan ketinggian ilmu. Kesinambungan antara yang lama dan baru harus diperkukuhkan agar senantiasa selari dengan hasrat perjuangan. Niat yang ikhlas disemat di hati yang dalam dan disemai dan di bajai dengan nasihat dan teguran.

Antara intipati utama yang dapat dikongsikan adalah kepentingan jemaah yakni kerja secara berkumpulan. Sehebat apa pun kita, konsep berjemaah harus diutamakan. Ini antara lain adalah untuk menghasilkan suatu pandangan dan hasil keputusan yang sama-sama dapat dipertanggyngjawabkan. Di samping itu, tatkala bersendirian kita akan selalu diuji dengan pelbagai ujian.

Beliau juga menegaskan kepentingan niat dalam setiap usaha kecil kita kerjakan. Tidak perlu tatkala program atau aktiviti besar, kerja-kerja kecil seperti ziarah juga adalah sebagian daripadanya. Perbetulkanlah niat selalu agar apa yang kita kerjakan adalah bahagian daripada mardhatillah.

Kita selalu merasakan apa yang kita kerjakan sudah cukup,walhal masih jauh daripada istilah cukup. Perjuangan ini harus disertakan dengan kesungguhan, konsisten dan pengorbanan.  Bahkan kata beliau, kita adalah manusia terpilih yang telah diemban dengan amanah besar untuk kerja-kerja ini. 

Selain itu, beliau juga menegaskan bahwa pentingnya pendinding diri dengan AlQuraan serta amalan-amalan dia Rasullullah agar kita senantiasa dipelihara. Kerana, kita bukan hanya satu-satunya makhluk yang Allah ciptakan di dunia, kerana masih ada lagi makhluk lain yang mendiami dunia ini. Ini jelas, antara kandungan Rukun Iman adalah percaya kepada benda-benda ghaib.


Siraman ilmu seperti ini bukan hanya memperkuat rohaniah, tapi juga mepertajam akal fikiran serta pemantapan psikologi. Yang pastinya, ilmu Allah itu luas mencakupi apa sahaja yang terjangkau dan tidak terjangkau akal fikiran, asalkan ianya adalah berkiblatkan kepada AlQuraan dan Assunnah.

Thursday, December 4, 2014

Kisah sahabat

Bilamana kita berbicara tentang sahabat, pelbagai definisi yang sesuai untuk mengungkapkan kata-kata ini. Bahkan, saya tertarik melihat ia dari konteks yang lebih mudah iaitu melalui lagu...Antara contoh lagu adalah 'Sahabat' dari band Padi untuk siri karikatur aminasi Upin & Ipin. Upin & Ipin banyak mengangkat tema keluarga dan persahabatan sebagai jalan cerita. Bahkan, kumpulan nasyid Brother juga menceritakan tentang kisah sahabat sejati di jalan Allah.

Harini, saya ingin membicarakan tentang sahabat dan mentor terbaik saya En Dasuki. Kisah panjang beliau bermula dari waktu beliau masih mahasiswa hinggalah kini. Bahkan saya secara peribadi baru mengenali kisah silam beliau semalam setelah dimaklumkan sahabat saya saudara Ismail. Bagi saya, kisah silam adalah milik masing-masing individu, bilamana kita bersedia barula kita akan berkongsi dengan sahabat-sahabat lain. Jika ia harus disimpan rapi,biarkan ia tersimpan rapi.

Tapi, kali ini saya ingin berbicara dari aspek perjuangan. Nama En Dasuki Wahab sudah dikenali ramai di akhir tahun 2001 bahkan kisah beliau terpampang di dada-dada akhbar di kala itu.Kisah perjuangan seorang mahasiswa yang mempertahankan prinsip. Dikarenakan mempertahankan prinsip,beliau menjadi mangsa ketidakadilan sesetengah pihak yang tidak senang dengan ketegasan dan kelantangan beliau.

Ketegasan demi prinsip bukan hanya di zaman mahasiswa, tapi turut dikekalkan hingga kini. Bukan kerana demi prinsip kita akan membangkang,tapi kerana dengan prinsip kita melakukan sesuatu dengan lebih amanah dan bertanggungjawab.

Ketegasan dan kelantangan beliau bukan berarti ada jarak kesombongan dan keegoan di dalam diri beliau, tapi adalah merupakan keperibadian beliau. Susun kata yang teratur dan berbudi bahasa mencerminkan ketinggian sahsiah beliau. Bahkan, beliau banyak mengabdikan diri dalam kegiatan kemasyarakatan khasnya dalam komuniti Orang Asli dan menikmati nilai-nilai kebersamaan dan kepedulian bersama-sama dengan sahabat- sabahat lain.

Kisah perjuangan beliau masih panjang untuk disingkapi, tapi cukupla secebis kisah ini untuk tatapan kita bersama. 

"Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya kelak soal kepimpinan kamu"

# sdra Ismail berkata,jika nak tahu lebih lanjut siapa itu Dasuki Wahab, tanyala kepada incik Google kerana incik Google masih meyimpan kisah-kisah beliau.....




Bersuara bukan membangkang,
Bangkit bukan menentang,
Biar pahit suara perjuangan
Biar onak dan duri di persimpangan
Tapi,
Hati selalu kental di jalanNya
Mengambil setiap kisah sbg hikmah,
Mengatur langkah ke depan dgn bimbinganNya
Kerana,
Hidup adalah suatu medan ujian
Buat hambaNya yg ikhlas menerimaNya
Tiada yg terbaik buat seorang hamba melainkan terus merayu & meminta daripadaNya

# selamat ulang tahun kelahiran buat sahabat & mentor ambo en dasuki....





Friday, November 28, 2014

I want to work with you

"I want to help you vs I want to work with you"

Sewaktu menghadiri Post APACH conference tempohari, berkesempatan berbual dengan salah seorang daripada ahli panel tersebut iaitu Prof Dr Alberto Gomes, Pengarah Pusat Budaya, La Troube Universiti Australia. Beliau menceritakan pengalaman beliau sepanjang bersama masyarakat Orang Asli suku Semai, Perak sewaktu menjalankan penyelidikan di akhir 80an dan awal 90an.

Beliau menegaskan bahwa terdapat perbedaan yang jelas antara ' I want to help you dan I want to work with you'. Perbedaan ini harus dipahami dengan jelas bagi memastikan matlamat yang digariskan dapat tercapai dengan baik.

Penggunaan kata yang jelas sewaktu bersama masyarakat Orang Asli adalah penting. Tatkala kita menggunakan 'I want to help you', mereka berfikir yang kehadiran kita adalah 100% peratus untuk menolong dan mereka tidak akan memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi.

Bahkan ahli panel yang lain iaitu Dato Dr Abdul Razak juga menegaskan bahwa masyarakat Orang Asli memahami istilah 'I want to help you' dalam konteks yang lain. Sebagai contoh, dalam projek pembukaan ladang getah atau kelapa sawit. Dari membuka tapak,semaian, baja dan mengutip hasil dilakukan oleh pihak yang mengatakan 'I want to help you' dan tiada dari masyarakat sendiri. Lanjut beliau, sewaktu rombongan pihak Lembaga Getah  Malaysia berhasrat memperkasa ekonomi masyarakat Orang Asli dengan rancangan penanaman getah, projek itu terbengkalai di pertengahan jalan. Usaha membuka ladang dan penyerahan anak benih getah sudah dilakukan tapi Orang Asli tidak menanamnya. Kata mereka, kamu sudah membuka tapak projek dan kamu jugala yang harus menanam,membaja dan mengutip hasilnya. Alhasil, anak benih getah mati kekeringan dan tapak projek ditumbuhi semak samun.

Tapi apabila kita datang dengan ' I want to work with you', pemahaman mereka lebih jelas. Komitmen dan kerjasama yang diberikan juga betul-betul memuaskan. Sebagai hasil, kita mendapat kepercayaan daripada mereka seperti mana kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk sama-sama berkerja dalam satu kumpulan. Atas dasar saling menghormati dan saling menghargai, objektif yang digariskan akan tercapai.

Konsep ini bukan hanya dapat dipraktikkan dalam bidang pembangunan sosioekonomi sahaja, tapi mampu diterapkan dalam pelbagai bidang terutama pendidikan dan kesihatan di kalangan masyarakat Orang Asli khasnya dan masyarakat umum amnya.




Prof Alberto Gomes & Prof Awang

Thursday, November 27, 2014

Asia Pasific Consortium For Public Health (APACH)

Pada 20 & 21 Oktober 2014 tempoh hari, berkesempatan mengambil bahagian dalam konferen antarabangsa iaitu 'Post APACH Conference : Promiting The Health of Indigenous and Transitional Population' di Hotel Rivefront, Ipoh yang mana dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Awam, Kolej Perubatan Di Raja Perak dengan kerjasama APACH, KKM,JAKOA dan beberapa agensi lain lagi.

Konferen ini antara lain adalah membicarakan isu-isu semasa berkaitan kesihatan masyarakat Orang Asli di Malaysia dan dunia amnya serta peranan yang boleh diambil dalam meningkatkan promosi kesihatan di kalangan mereka.

Antara ahli panel yang hadir adalah nama-nama besar dalam pembangunan kesihatan luar bandar khasnya di kalangan masyarakat Orang Asli seperti Dato Dr Abdul Razak, Prof Osman Ali,Prof Dr Abdul Karim, Prof Alberto Gomes(Australia) dan Dr Rosemawati (KKM).

Dato Dr Abdul Razak hadir selaku Presiden MRA dan mengupas persoalan 'Combating Poverty and Health Equity Among Indigenous People' dengan melihat persoalan asas ini daripada beberapa sudut pandang yang menarik menjadikan topik beliau mudah dicernakan.

Manakala, Prof Dr Alberto Gomes adalah tetamu yang didatangkan khas daripada La Troube Universiti untuk mengupas persoalan 'Vanishing Forest,vanquished peopkes: the inpact of enviromental changes on the Orang Asli of Penisular Malaysia'. Beliau pernah menghabiskan beberapa tahun bersama masyarakat Orang Asli suku Semai,  Perak sewaktu menjalankan kajian beliau dalam konteks sosial,ekonomi, budaya dan kepercayaan masyarakat Orang Asli. Beliau banyak menyentuh persoalan tentang alam sekitar dan dampaknya terhadap masyarakat Ofang Asli.

Prof Dr Osman Ali, Dekan Fakulti Perubatan RCMP juga berbagi pandangan beliau sewaktu mengupas mengenai 'Innovative Approaches in Countering The Communicable And Non Communicable Diseases among Indigenous and Transitional Communities'. Prof Osman begitu dikenali dalam banyak kajian yang beliau jalankan serta beliau juga aktif dalam membudayakan promosi kesihatan di kalangan masyarakat di pendalaman sewaktu bertugas di UMS. 

Dr Rosemawati yang merupakan wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyampaikan syarahan berkenaan 'Achievement in Health Care Development Among Indigenous People in Malaysia' serta serba sedikit mengupas persoalan daripada Prof Osman Ali.

Prof Dr Abdul Karim yang merupakan pengagas Rural Medical Mobile Mission [RM3] dan juga merupakan Pengerusi MRA Perak sempat berkongsi syarahan beliau berkenaan 'Health Issues Faced by Indigenous People in Malaysia'. Prof Karim juga dikenali dengan hasil kajian beliau khasnya melibatkan komuniti Orang Asli. 

Diakhir konferen hari pertama ditutup dengan diskusi ahli panel dalam membicarakan tentang 'Exploring Opporrunuties for Collaborative Works and Forming Partnership for Research and Health Promotion'. Para peserta konferen mengambil peluang untuk bertanya kepada setiap ahli panel ini tidak terkecuali saya sendiri yang mengupas persoalan membudayakan saling menghargai dan saling menghormati sebagai langkah pertama dalam menyemai budaya tentang pemahaman pentingnya promosi kesihatan dan kesihatan asas pada komuniti Orang Asli. Bagi saya, langkah ini penting kerana kita masyarakat luar tidak selama-lamanya mampu merubah mereka melainkan mereka mempunyai kesedaran tersendiri untuk sama-sama mengambil bahagian serta menyedarkan masyarakat luar untuk memberi layanan yang sama dan selayaknya kepada mereka. Jika hanya segelintir pihak yang beria-ria berusaha untuk memperbaiki tahap kesedaran kesihatan Orang Asli melalui pendidikan,masih banyak pihak yang cuba menggagalkan usaha ini dengan menyemai budaya tidak sehat seperti penindasan dan layanan yang tidak adil kepada mereka hingga membuatkan masyarakat Orang Asli kian tertindas.

Manakala hari kedua, para peserta di bawa ke perkampungan Orang Asli Pos Raya di Simpang Pulai untuk mempelajari budaya serta cara hidup masyarakat Orang Asli.








Dominasi Pemandu Teksi di Terminal Aman Jaya

Terminal Aman Jaya yang gah dibina sebagai hub pengangkutan terbesar dan terbaik di wilayah utara dicemari dengan ulah pemandu teksi yang mendominasi terminal tersebut. Kenapa isu ini dibangkitkan? Lihat sahaja, gelagat mereka di depan terminal Aman Jaya yang begitu menjengkelkan.
Persoalan yang mahu diutarakan adalah, laluan dihadapan terminal sebetulnya milik siapa?Milik mereka pemandu teksi atau bebas kepada umum? Hal ini menjadi tanda tanya apabila mereka menunggu seenaknya di bawah teras bangunan manakala penumpang diturunkan sedikit jauh di depan teras terminal. Keadaan ini diperburuk apabila hujan, mereka betul-betul mendominasi kawasan teras teeminal manakala penumpang bas bersempit-sempit di bawah hujan.. Sebetulnya terminal ini dibina untuk kenyamanan sepihak pemandu teksi atau kenyamanan penumpang bas.
Agak ironi dengan gahnya bagunan terminal ini tapi masih dengan mentaliti lama. Jika dibandingkan sewaktu di Terminal Medan Gopeng,sepertinya mereka harus menunggu penumpang di luar bangunan terminal atau beberapa petak khas untuk mereka di dalam.
Persoalan lain yang ingin dibangkitkan adalah caj yang tidak wajar dikenakan kepada penumpang. Sebagai contoh, dari terminal ke Silibin normalnya hanya RM10 tapi ada segelintir pemandu mengenakan harga 2kali ganda iaitu RM20 yangmana pada siang hari. Belum lagi ke tempat lain.
Jadi sudah sewajarnya, pihak berwajib mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak semena-mena. Jika diperhalusi, ini bukanlah cerminan keseluruhan daripada mereka tapi sebagai galang gantinya,memberikan dampak negatif kepada pemandu teksi secara amnya.
Pepatah Melayu lama mengatakan 'kerana nila setitik,rosak susu sebelanga'
            


Wednesday, November 19, 2014

Sukarelawan RCMP

Kolej Perubatan Di Raja Perak atau lebih dikenali sebagai RCMP kini boleh berbangga dengan pencapaian mahasiswa mereka yang aktif dalam dunia sukarelawan dan kemasyarakatan khasnya di komuniti masyarakat Orang Asli. Dengan berbekalkan kekuatan mereka dalam bidang sains kesihatan,mereka memanfaatkan kelebihan yang mereka ada dengan sebaiknya.
Perjalanan panjang mereka di dalam aktiviti kemasyarakatan di luar bandar bermula apabila Rural Medical Mobile Mission [RM3] yang diketuai oleh Prof Dr Karim memulakan langkah sekitar tahun 2010. Mereka menyediakan perkhidmatan kesihatan & kemasyarakatan bukan hanya di belantara semata,bahkan langkah mereka lebih jauh iaitu di bumi Indonesia,Kemboja,India dan Afrika telah membuktikan komitmen mereka.
Walaupun kini [RM3] tidak jelas statusnya, tapi RCMP tidak pernah ketandusan sukarelawan di kalangan mahasiswa dengan kehadiran pelapis-pelapis baru. Kekuatan ini bukan terletak pada institusi semata,tapi dikarenakan kemahuan yang tinggi di dalam berbakti memandangkan bisnes utama mereka adalah manusia. [RM3] boleh berlalu tanpa jasad tapi semangat [RM3] masih membara di setiap pelapis-pelapis baru.
Sukarelawan RCMP kini bergabung dengan NGO luar iaitu Pertubuhan Dakwah & Kebajikan Masyarakat Orang Asli Hulu Kinta Perak yangmana dengan sokongan daripada pihak JAKOA, JAKIM & JAIPk. Dengan memanfaatkan kemahiran mereka di dalam bidang sains kesihatan, dunia sukarelawan kini menjadi lebih bervariasi. Antara kemahiran utama yang ada dan siap dimanfaatkan adalah jurusan perubatan,farmasi,fisioterapi,radio dan nursing.
Bahkan setiap kali program ziarah & anak angkat ke perkampungan Orang Asli, sukarelawan RCMP lebih menonjol dengan pengalaman dan kemahiran mereka ada. Mereka memanfaatkan kemahiran berkomunikasi dengan sebaiknya disamping sentuhan. Setiap jurusan ini memainkan peranan penting dalam setiap program tapi tetap atas kepentingan bersama. Baik MBBS,Farmasi,Fisio,Radio atau Nursing adalah kombinasi terbaik asalkan mereka menetapkan matlamat yang jelas. Pelajar2 jurusan MBBS akan membantu Doktor-doktor dalam setiap slot pemeriksaan kesihatan,pelajar2 Farmasi pula membantu untuk membekalkan obat di samping kaunselling penggunaan obat,pelajar2 fisioterapi menekankan aspek kehidupan cara sehat disamping slot fisioterapi,pelajar2 radio & nursing pula membantu secara keseluruhan. Ada diantara pelajar-pelajar ini juga menjalankan penyelidikan kesihatan dikalangan masyarakat Orang Asli
Pihak JAKIM,JAIPk dan JAKOA juga memberi respon yang positif di atas penglibatan sukarelawan dari RCMP. Ini kerana, apa yang mereka pelajari di dewan kuliah betol-betol dimanfaatkan di lapangan. Tidak hanya agensi kerajaan,NGO lain seperti Malaysia Relief Agency (MRA) juga mendapat manfaat dari hadirnyna sukarelawan-sukarelawan ini.
Pengorbanan bukan hanya dilihat pada wang ringgit tapi juga dinilai dari setiap kudrat yang mereka sumbangkan asalkan masih berpegang pada niat yang jelas. Semoga apa yang mereka sumbangkan ini menjadi jembatan amal jariah & sedeqah walaupun jasad dan nyawa sudah berpisah.
"Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada manusia yang lain" & manusia yang dapag berbagi apa yang mereka ada untuk dikongsikan bersama orang lain.

Tuesday, November 18, 2014

Pandai-pandai

'Pandai-pandai' jika diamati hanya 2 kalimat ayat yang disatukan dari sifat ulangan. Namun jika ia diperhatikan secara terperinci dan di luar konteks umum akan terungkai makna yang mendalam. Bahkan saya suka melihat ia sebagai pepatah ringkas.

Saya mula menghayati makna tersiratnya bilamana seorang guru dari Acheh suatu ketika dahulu mengajarkannya kepada saya tatkala kami membahaskan tentang kehidupan. Topik kehidupan adalah topik besar yang saya sendiri belom memahami secara menyeluruh,tapi yang boleh kita singkapi adalah sebahagian kecil tentang konsep 'pandai-pandai' di dalam kehidupan.

Beliau mengutarakan konsep pandai-pandai ini harus dipisahkan kepada dua perkataan sebelum ia disatukan dan memberi makna baru.

'Pandai-pandai', pandai pertama didefinisikan sebagai kepandaian dalam menguasai ilmu kemahiran dan kemampuan hidup. Pada asasnya,kepandaian ini dipelajari secara praktikal dan diamalkan secara berturun. Bahkan kepandaian ini juga adalah kemahiran dalam bertahan hidup. Antara contoh kepandaian ini adalah kemahiran bertukang,seni kreatif,membaiki sesuatu dan sebagainya.

Manakala kepandaian dalam ayat kedua 'pandai-pandai' lebih didefinisikn kepada kepandaian intelektual. Iaitu seseorang menggunakan sepenuh simpanan otaknya dengan mempelajari sesuatu secara sistematik dan berkala dengan sebahagian besarnya adalah teori semata. Kepandaian ini akan makin berharga sekiranya ia melibatkan darjat dan status sosial seseorang.

Setakat ini,definisi secara terpisah mungkin telah membuat anda berfikir secara terbuka. Sekarang cuba kita perhatikan konsep 'pandai-pandai' ini dalam konteks seharian kita dalam bermasyarakat.

Kepandaian kemahiran iaitu 'pandai' yang pertama hanya akan bersifat statik dan tidak ke mana. Mereka hanya mampu bertahan hidup dengan kemahiran dan skill yang mereka ada tanpa ada perbaikan ke depannya. Bahkan kemahiran yang mereka ada cenderung dimanfaatkan oleh orang lain dikarenakan melihat kepada prospek keuntungan. Akhirnya,mereka ini dirugikan.

Manakala kepandaian dalam kata kedua juga bersifat teori tanpa praktikal yang kukuh. Seseorang dengan kepandaian intelektual ini hanya melihat dari sudut ilmiah. Mereka juga cenderung menggunakan kepandaian intelektual mereka untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sepatutnya milik mereka dan terkadang mengalami keterbatasan dalam skill berkomunikasi.

Seseorang dengan kemahiran bertukang mampu menyiapkan karya seni yang menarik. Dikarenakan keterbatasan ilmu pemasaran dan promosi, karya mereka dilihat sepi tanpa nilai.

Begitu jua dengan kepandaian intelektual yang tinggi belom mampu menghasilkan produk-produk terbaik yang baik kualitinya jika apa yang mereka ada cuma mengemukakan gambaran semata-mata.
Dikarenakan itu,mari kita melihatnya dalam satu makna berkait. Kepandaian kemahiran semata-mata tidak menjamin keberlangsungan yang lama jika sekiranya tidak diikuti dengan kepandaian intelektual. Dengan mensingergiskan kedua kata 'pandai-pandai' ini akan mengoptimalkan hasil yang lebih baik. Bahkan kepandaian intelektual juga tidak bermanfaat sekiranya ia tidak dikembalikan kepada masyarakat untuk manfaat bersama

Kita memang tidak mampu mendapat 100% dalam kedua-dua 'pandai' ini, tapi sekurangnya kita mampu mengimbangi kedua-dua kepandaian ini untuk kita bertahan hidup..
# mentang2 da bergelar doktor,takkan tak tahu tukar tayar kereta pancit. Perlu panggil pomen ke?
# jom kita fikirkan bersama

Tuesday, November 11, 2014

Sukarelawan belantara

Perjalanan panjang dlm dunia sukarelawan belantara bermula apabila diinspirasikan oleh beliau. Dgn penampilan bersahaja tp penuh dgn semangat dan matlamat yg jelas. Bahkan kuliah subuh beliau sewaktu di KOA Jegdip,Pos Brooke(4 tahun lalu) menekankan konsep "sebaik-baik manusia adlh manusia bermanfaat kpd yg lain" disertai amanah manusia sbg khalifah. Beliau juga menekankn kepentingan niat bilamana memulakan sesuatu agar komitmen selalu dpt diperkukuh..
Selain drpd beliau, komitmen dan kesungguhan mentor2 lain juga antara pemicu komitmen yg berterusan antaranya dr Prof Karim, En Hilal,En Dasuki,Ustz Halim, En Shamsul...
# tempat ceramah beliau hanya sekadar tong simpanan ais dialas dgn sejadah & baju melayu yg disarung last minute bersama dgn tshirt...hehe

Dato' Dr Abdul Razak

Sunday, October 19, 2014

Tangisan Si Kecil

Kisah ini hanyalah sebahagian kisah anak-anak di Indonesia yang berjuang hidup dari kecil. Permulaan kisah adik ini bermula bilamana beliau menyuarakan kejujuran kasih dan cintanya kepada orang tua beliau melalui lagu. Ibarat mengiyakan kata-kata ahli muzik yang berpengalaman, nyanyikan lagu dengan hati nescaya kamu mampu meraih simpati orang ramai. Begitu juga dengan adik Faizal ini,kepolosan beliau mengutarakan apa yang ia rasa adalah kekuatan yang tersendiri.
Dengan tidak menafikan bakat yang beliau ada, hakikat kehidupan yang beliau dan adiknya hadapi adalah kisah yang benar-benar menyentuh hati ramai orang. Ketiadaan orang tua disamping disaat rakan-rakan lain membesar dengan penuh gelak tawa bersama orang tua membuktikan kecekalan dan ketabahan beliau diuji.
Perjalananan adik ini baru sahaja bermula, dengan kelebihan yang beliau ada sekarang mampu merubah segala-galanya tapi seberapa lama ia akan bertahan sekiranya tidak diikuti pendidikan yang sempurna.
# jika anda berkesempatan ke Indonesia, anda akan melihat ramai anak-anak kecil seusia Faizal ini berkeliaran di lampu-lampu trafik untuk mengemis. Bahkan ada diantara mereka, merempat untuk tidur dan mendapatkan makanan
# ini adalah kehidupan nyata sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi tapi dinafikan kekayaan oleh segelintir orang yang berambisikn kekuasaan dan kekayaan seperti juga di Malaysia

https://www.youtube.com/watch?v=fn3Qb56ujNQ&feature=youtube_gdata_player

Wednesday, October 1, 2014

Proton WAJA

Proton Waja 1st edition dijiwai dengan aura baru setelah hak kepemilikan berpindah milik. Dengan suntikan aura orang muda, konpem kita kasi touch up sket la.....hehe...Ayah selaku penaja utama telah menaja satu set sport rim 15' beserta tayar brigdestone plus absorber baru, beribu-ribu jugakla. Tapi kali ini, ayah puas setelah sekian tahun menantikan anaknya menghabiskan MBBS. 

Betul la mak cakap, ayah kalau bawa kedai kereta konpem tak ingat dunia. Ade je yang dia nak tukar, benda yang tak perlu tukar pon ayah nak tukar. Dekat kedai tayar siap ada perang dingin seketika antara ayah dan tokey kedai..nak tahu apa?
Tokey : Ini kereta siapa pakai?
Ayah : ooo, ini kereta anak saya pakai.
Aku : saya pakai..
Tokey : kalau itu macam, you angkat sport rim 17' la, baru ada ummmph untuk orang muda....
Ayah : apapasai? You ingat I tua ka?
Aku : (huummm..dalam IC mmg da tua pon,haha)
Tokey : bukan itu macam, orang muda-muda selalu mahu sporty maaa
Ayah : oooo..you ingat I da tua takleh sporty-sporty ka?

hahahhahaa............

Kancil masih ada, EX5 pon juga ada. Tapi semua digunakan secara bergilir antara kami sekeluarga apabila ayah dan emak datang. InsyAllah, adik pon kena belajar bawa kereta, so kancil la jawapannya..hehe


p/s : - btw, TQ ayah
      - pesan pakar ekonomi alias mak " takyah beli kereta2 baru, negative investment tuh tapi buatla rumah dekat Dungun", itu baru positive investment..tiba-tiba teringat kata-kata Robert T Kiyosaki dalam buku Poor Dad, Rich Dad :)


Ayah dan Durian

Bulan ramadhan tempohari, adalah bulan pemburuan bagi ayah daku iaitu pemburuan durian. Kali ini pemburuan dilakukan di kampung Orang Asli Suluh, Hulu Kinta. Bagi memastikan misi terlaksana, kami pergi menjejaki kampung tersebut terlebih dahulu dalam memastikan stok durian cukup. Biasela, kalau da musim durian konpem durian habis dijual ke bandar. So, proses 'booking' dilakukan beberapa hari sebelum. Bisnes jual beli durian ini dilakukan antara ayah daku dan penghulu serta beberapa penduduk kampung yang lain. Di samping berburu durian, ada juga cempedak, manggis, serta tempoyak. Tempoyak KOA Suluh memang power..

Ayah daku dan durian tiada berpisah, beliau mampu menghabiskan4-5 biji sorang-sorang. Kami ahli keluarga yang lain sekadar 2-3 ulas je. Stok durian yang berlambak ni memang boleh bukak gerai dekat pekan, tapi tak berbaloi la sebab kami buat sebab suka-suka. Sebagai jiran yang baik, kami berbagi dengan jiran-jiran lain. :)











Menggamit sejarah 30 September 2009

30 September adalah tarikh yang tak dapat dilupakan bilamana tarikh tersebut adalah sejarah tersendiri khasnya 5 tahun lalu. Sejarah yang senantiasa segar untuk diingati, bahkan tersimpan seribu satu pengajaran di balik peristiwa tersebut. Tarikh yang merupakan titik balik perjalanan panjang akan sebuah perjuangan. Perjuangan yang menuntut kesabaran dan kecekalan hati.

Pada 30 September 2009, gempa bumi besar melanda bumi sumatera khasnya di Padang. Di saat masyarakat sibuk beraktiviti di petang hari, tiba-tiba dikejutkan dengan gegaran besar melanda Padang. Gempa bumi ! Gempa bumi! Gempa bumi! Itulah pekikan dan laungan orang ramai yang sekian lama telah dibaluti dengan keresahan dan ketakutan pasca gempa bumi besar melanda Acheh.

Masyarakat Padang seakan histeria dan hilang tujuan. Gempa bumi yang tidak berkesudahan itu berlanjutan untuk satu tempoh yang lama diselangi gempa-gempa kecil. Ketakutan akan tsunami, tanah runtuh dan kepanikan telah menjadi bagian hidup masyarakat Padang ketika itu.

Tiada kata tepat mengambarkan perasaan pada ketika itu  kerana masing-masing masih berjuang menuntut sebuah kehidupan. Kemana-mana dapat dilihat orang ramai tidur di atas jalan,serta di padang terbuka. Bekalan letrik dan air terputus ibarat mengiyakan pepatah Melayu lama " ibarat jatuh ditimpa tangga".

Di balik kisah tersebut, tercatat misteri hikmah yang harus dirungkai oleh kita semua. Bukan hanya menyalahkan ia sebagai bencana alam, tapi menerima ia sebagai qada' dan qadar daripada Allah. Sebuah teguran untuk hambaNya agar selalu beringat. Bahkan jika ditelusuri setiap peristiwa tersebut, akan telihat seribu satu pengajaran.

Alhamdullilah, segala puji bagi Allah yang masih menyisakan sedikit peluang kepada hambaNya ini untuk terus berjuang dalam menggapai cita-cita. Cita-cita yang hanya dimulai dengan angan-angan tapi kini mampu direalisasikan dengan kerja keras tanpa henti.

Allah tidak akan menduga hambaNya di luar batas kemampuan hambaNya...




Sunday, September 28, 2014

Tuntulah Ilmu Hingga Ke Negeri Cina

Alhamdulilah, 27 September 2014 adalah sejarah tersendiri buat adik saya apabila secara rasminya dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda sempena konvokasyen UniKL yang ke 11. Perjalanan panjang beliau dalam menuntut ilmu sama seperti abangnya, bertatih dengan sijil pasca SPM dan merangkak dengan Diploma, berjalan dengan Sarjana Muda da kini mulai mengorak untuk berlari bersama Sarjana.

Dalam mensyukuri nikmat yang ada ini, ternyata alam adalah pusat Ilmu terbaik kerana menyimpan sejuta satu misteri dalam mendidik manusia. Dengan berbekalkan akal yang sehat, kita mampu menilai akan setiap apa yang ada secara berhikmah...


Friday, September 5, 2014

Alhamdulilah......

Alhamdulilah, Allah telah hadapkan saya dengan dua kali sakaratul maut dan kesihatan yang tidak menentu,tapi Allah ada perancangan lain dengan terus mendidik hamba ini untuk terus sabar dan istiqamah dalam mencari redhaNya..

Sakaratul maut dan kesihatan cuma bingkisan ujian kecil Allah hadiahkan pada hambaNya, untuk melihat hambaNya untuk terus merayu dan meletakkan harapan kepada Nya.

Harini, perjuangan saya sebagai siswa telah berakhir dan akan memulakan dengan  amanah yang lebih berat kelak, berbakti kepada masyarakat. Agar apa yang saya yakini dan perjuangkan ini di bawah redhaNya,dan dapat dikembalikan kepada yang lain..


Kasih ayahanda dan bonda selama ini tidak pernah kunjung habis,disertai dorongan dan dukungan baik di kala susah mahupun tatkala gembira. Kejayaan harini belom mampu melunaskan apa yang mereka sisakan untuk membesarkan anaknya ini,tapi dengan secebis kejayaan ini minimal mampu mengembalikan sinar bahagia untuk mereka. Terima kasih mak ayah..

Begitu jua dengan sedikit kasih dan prihatin yang selama ini dicurahkan kepada pembangunan komuniti Orang Asli, mungkin itu tiada apa-apa tapi disitula bermula sebuah kisah perjuangan seorang hamba. Dididik dengan kesederhanaan, keterbatasan, dugaan serta pelbagai lagi ternyata membuahkan hasil yang manis. Selagi kita mampu berbagi apa yang kita ada baik berupa kasih atau kebendaan, nescaya Allah tidak pernah leka dari menilainya.

Apa yang pasti, yakinilah bahwa Allah tidak menduga hambaNya di luar kemampuan hambaNya. Tuga kita sebagai hanba adalah untuk terus merayu dan memohon kepada Nya. Segala puji syukur pada Mu ya Allah..

Sunday, June 8, 2014

Guru Alam

Alhamdulilah, kembara ziarah harini ini disempatkan ke perkampungan Orang Asli Dollah,KOA Makmur dan KOA Suluh di Hulu Kinta. Antara tujuan pemergian ke  Kg Dollah adalah ingin menyempurnakan amanah sahabat-sahabat yang ingin membantu adik Ahmad Mustakem. Adik Ahmad Mustakem ini merupakan pengidap Thalassemia dan setiap bulan harus mendapatkan tranfus darah di Hospital Permaisuri Bainun. Dengan berbekalkan nasihat, kami juga mengusahakan agar adik Ahmad Mustakem dapat dibantu oleh pihak Unit Kerja Sosial HRPB atau pihak berkuasa lainnya terutama berkenaan dengan biaya pengangkutan bulanan. Kerana sebelum ini difahamkan,beliau bersama ibunya pernah putus rawatan selama setahun.

Manakala program di KOA Suluh adalah sepenuhnya program daripada pihak Hospital. Pihak hospital mengadakan pemeriksaan kesihatan,sukaneka,agihan bantuan serta makan bersama.

Tapi hari ini, kembara alam bermula dengan sahabat dan mentor terbaik saya iaitu En Dasuki atau dikenali sebagai Cikgu Dasuki. Dengan bermodalkan ilmu yang serba sederhana,kami mendatangi dan mengunjungi sahabat-sahabat belantara di KOA Suluh. Antara yang berkesempatan kami kunjungi adalah rumah Pak Alang alias Abd Rani. Dengan hangatnya bersalam,kami memulakan bicara yang disusun dalam bahasa yang beradab. Perilaku ini tak kunjung ubah dari tuan rumah sendiri yang begitu halus menyusun bahasa dan berkiasnya. Dari isu Maybank (harimau), fumakilla (gajah), kayu kayan, bunian, sejarah pengislaman OA, kehebatan OA suku Jahai sebagai penjejak untuk tentera, aliran sungai, sistem barter beras yang dinalkan suku Jahai di Banding, memancing, ular tedung dan banyak lagi. Kebanyakan ilmu yang dikongsi ini tidak didapatkan di dalam ruangan kelas, tapi dari pengalaman sertama kemahiran yang dimiliki. Begitu juga dengan kami,  dengan alam sahaja kami telah berguru akan kehebatan kuasaNya,apatah lagi dengan adanya guru. 

Begitu juga Rasullah SAW yang begitu menghormati orang yang memberikan ilmu walau hanya secebis. Sabda baginda "sampainkanlah kepadaku walau sepotong ayat". Kisah Rasullah telah mengiyakan bahwa alam boleh menjadi guru terbaik jika kena pada tempatnya.





Monday, May 26, 2014

Aku seorang sukarelawan

Seringkali ditanya kenapa begitu beria-ria dalam aktiviti Orang Asli yang jauh nun di pedalaman. Adakah mereka saudara kamu? Apakah manfaat yang kamu dapat dan kamu telah bazirkan waktu mudamu dengan mereka? Pelbagai jenis soalan yang sering dilontarkan kepada aku sepanjang aku begelar sukarelawan.

Pertama-tamanya,aku cuma mampu melafazkan rasa syukur di atas nikmat yang Allah kurniakan kepada aku sehinggala detik ini. Memanjangkan syukur diatas nikmatNya adalah tanda kita hamba yang bersyukur sesuai dengan firman Allah "Jika kamu bersyukur  diatas apa yang kamu perolehi dan sesungguhnya Aku akan menambahkan nikmat ke atas mu tapi jika kamu kufur di atas nikmatKu,azabku amatlah pedih.


Jika dihayati sepenuhnya firman Allah tersebut,akan jelas bahwa nikmat yang ada di muka bumi ini tiada habisnya jika kita selalu meletakkan hak setiap nikmat itu pada haknya,tapi jika berlaku kezaliman iaitu meletakkan sesuatu bukan pada haknya, akan jelas mengundang murka Allah.

Tatkala kita diberi kelebihan, kemampuan & akal fikiran yang sempurna, adakah kita mahu menyia-yiakan begitu sahaja? Pasti kita memanfaatkan kelebihan yang kita ada ini untuk sesuatu perkara yang menguntungkan kita. Konsep yang sama juga dapat diaplikasikan kepada istilah sukarelawan itu sendiri.

Kita mempunyai segala kelebihan dan kemampuan, salahkah kita jika ingin berkongsi sedikit kegembiraan yang kita ada untuk mereka yang memerlukan? Ada yang menderma harta dan wang ringgit,tapi ada juga yang menyisakan waktu dan tenaga mereka, bahkan ada juga yang berkongsi kepakaran dan kemahiran yang mereka punya untuk mereka yang memerlukan. Kesudiaan yang tidak mengharapkan apa-apa keuntungan inilah dapat diartikan dan dimaknai dalam istilah sukarelawan. Jika diperhatikan secara bahasa, mungkin ianya digambarkan sebagai manifestasi teori semata, tapi maknailah dengan semnagat dan keikhlasan hati, nescaya kita mengetahui apa makna sukarelawan itu.

Kerja-kerja sukarelawan ini bukan sebatas terlibat dengan masyarakat Orang Asli semata-mata, tapi ruang lingkupnya adalah luas dan bergantung kepada kemahiran dan kepakaran yang kita miliki. Ada yang aktif dalam membantu warga emas,anak-anak yatim,ibu tunggal,orang sakit,orang miskin dan banyak lagi. Dikarenakan semnagat ingin berbagi kasih dan kebersamaan, nilai-nilai sukarelawan tidak pernah luntur.

Begitu juga aku, hanya bermodalkan ilmu yang tidak seberapa tapi begitu mendambakan perjuangan di belantara dengan cara tersendiri. Kerana masing-masing diantara kita pasti ada sedikit harapan untuk melihat orang lain gembira. Begitu juga aku, dan pilihan aku adalah mengabdikan kebersamaan dengan masyarakat Orang Asli. Harapan aku cuma satu, mereka mampu mempunyai kesihatan,pendidikan,dan sosial ekononi yang baik selayaknya kita masyarakat di bandar. Dikarenakan aku nempunyai latar belakang kesihatan,maka akan ku warnai pengabdian ku dengan memberikan hak-hak kesihatan kepada mereka. Tidak berarti dengan memberi pengobatan adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sehingga kita lupakan aspek promosi dan pendidikan kesihatan. Inilah usha yang boleh kita upayakan kepada mereka sebagai langkah pro aktif dalam membantu dari segi sosial. Pepatah ada mengatakan 'Mencegah lebih baik daripada mengubati'.

Pengabdiaan ku ini bukan sebatas kemahiran yang aku miliki,tapi juga pengabdiaan spiritual. Yangmana kita manusia adalah merupakan khalifah Allah di muka bumi, lantas aspek-aspek kerohanian juga adalah sama penting untuk kita ketengahkan kepada masyarakat Orang Asli. Jika bukan kita,siapa lagi? Usah persoalkan seberapa hebat ilmu agama yang kita punya, tapi sebarkanlah seberapa mana yang kamu ingin sebarkan selagi ianya berlandaskan AlQuraan & Assunnah. 'Sampaikanlah kepadaku walau sepotong ayat'

Prinsip ini juga dapat terlihat jelas dalam konsep zakat dimana kita mengagihkan sedikit kelebihan yang kita punya untuk sama-sama kita rasai kenikmatan yang ada dengan saudara-saudara kita yang lain.

Wednesday, April 9, 2014

3 Amal

Bercerita sahabat sy tentang amal yg seringkali dilupakan bahkan sengaja dilupakan.. Kisah ini bermula tatkala gurunya koma di hospital...tatkala itu,sang gurunya bercerita tentang apa yg beliau dilihatkan tatkala ia tidak sedarkan diri tempoh hari....bahwa setiap amalan beliau tatkala didunia diperlihatkan dan dihisab...amalan apakah itu? Adakah amalan beliau sebagai guru agama dan maqasid selama ini tidak dinilai Allah..... 

Sang berguru bercerita akan 3 hal iaitu ;
1. Kisah dimana beliau menyerahkan seekor ikan kepada kucing kelaparan...bukan sisa ikan,tapi ikan yg dimasak dengan baik untuk santapan beliau.. 
2. Adlh menjadi tabiat gurunya mengutip sampah2 kecil dimasjid tatkala org berceramah,dan disimpan didalam pokey bajunya...dibuang apabila ketemu tong sampah 
3. Sedang ia berkendara,terlihat seorang tua yg melintas di jalan...lgsg diberhentikan kenderaannya dan menolong orang tua itu melintas 

Apakah pelajaran yg diperolehi? Bahwa sesungguhnya,Allah menilai hambaNya bukan sekadar pada amalan dengan Allah,tapi juga amalan sesama makhluk.."hablun minnal nas,hablun minnal Allah" Segala amalan kita diperhitungkan Allah hatta sekecil zaharah,asalkan ianya kerana Allah...

Thursday, April 3, 2014

Kari Ayam versi India

Dengan kelapangan waktu yang ada,disempatkan untuk menaik taraf skill memasak..hehe
Kali ini resipi yang dicuba adalah kari ayam dengan menggunakan buah apa ntah (tapi buah ni biasa didapati dalam kari2 di kedai mamak). Dengan modal ingin mencuba,maka harini ditunaikan la...ternyata masak kari dengan buah ini ternyata berbeza denga kari melayu pada umumnya..rasa macam kari kedai mamak lak...haha
Setakat difahamkan, masyarakat India juga jarang meletakkan santan untuk memekatkan kari,tapi mereka akan meletakkan terung,tomato dan buah ini....kalau masyarakat Melayu biasanya ada menggunakan kari setiap masakannya..
Jom makan :)

Tuesday, March 25, 2014

Biarkan Ia Mengalir Bebas #MH370

Tiada kata mampu diucapkan untuk menggambarkan perasaaan ahli keluarga penumpang dan krew pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di tengah lautan Hindi. Kesedihan bukan hanya dirasakan oleh ahli keluarga, tetapi turut dirasakan seluruh dunia.

Dato' Seri Hishamuddin, Menteri Pertahanan & pemangku
Menteri Pengangkutan
Datuk Azharuddin, KP Jabatan Penerbangan Awam

CEO MAS, Ahmad JAuhari Yahya
Biarkan ia mengalir bebas, kerana kita masih ada Dia untuk merayu dan memohon pertolongan. 

Al Fatihah MH370

Daripada Nya kita datang, kepadaNya jua kita kembali

Sidang media tergempar berkenaan MH370 diadakan sekitar jam 10 malam (24 Mac 2014) oleh YAB Dato' Seri Najib Razak sendiri di PWTC. Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat dunia terkait pesawat MH370 dilakukan dalam keadaan tegang dan mendebarkan. 

Riak muka dan intonasi suara DS Najib diawal sidang media seakan telah menghanyutkan lagi suasana hiba di dalam bilik media. Persoalan selama ini di mana pesawat MH370 akhirnya terjawab, tetapi kenapa dan mengapa pesawat MH370 ditemukan di koridor selatan lautan Hindi masih dalam keadaan teka teki.

Pernyataan media ini tidak sampai 4 menit tetapi impaknya jelas terlihat. Wartawan-wartawan antarabangsa yang berkumpul di pusat media PWTC jelas  tidak mampu menahan perasaan akan hakikat ini. Tapi Allah Maha Berkehendak.


It is with deep sadness and regret, that according to this new data, flight MH370 ended in the southern Indian Ocean."

Mari sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat semua mangsa pesawat MH370.

Saturday, March 22, 2014

Najib Razak Juga Manusia

"a picture can say a thousand words"


Beliau dikenali sebagai Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Latar belakang dan kerjaya politik beliau mudah didapatkan dengan bantuan Mr Google, jadi tak payah saya nak huraikan panjang-panjang :)

Tapi apa yang ingin saya bicarakan adalah tentang gambar beliau yang kini tersebar luas di laman-laman sosial. Gambar yang simple dan bersahaja tapi mampu menyentuh banyak hati. Bagi sesetengah orang, isu ini tidak perlu diperbesarkan dengan alasan ini semua dilakukan atas kepentingan politik. Tapi bagi saya secara peribadi, ketepikan persoalan politik dan nilailah beliau sebagai manusia biasa, beliau juga hamba di mata Allah seperti mana juga kita.

Hari ini, Malaysia diuji Allah dengan kehilangan pesawat MAS MH370 yang tidak diketahui keberadaannya. Tidak ada siapa yang menduga akan berlakunya perkara ini, tetapi ianya sudah menjadi ketentuanNya. Masyarakat dunia kini sedang memerhatikan sikap dan tindakan DS Najib selaku PM Malaysia dalam menguruskan pencarian yang melibatkan hampir 30 buah negara.

Seakan akur dengan Qada' dan Qadar, DS Najib pasrah menyerahkan segala sesuatunya kepada Allah Yang Maha Kuasa. Kerana, tiada daya bagi beliau untuk meneruskan apa yang beliau rancang tanpa adanya izin dariNya. 

Ada pepatah mengatah jangan menilai seseorang berdasarkan luarannya semata, tapi nilailah secara keseluruhan. Begitu juga tanggungjawab kita dalam menilai beliau, kerana yang selebihnya adalah urusan beliau dengan Allah. 

Nabi Muhammad SAW bersabda " setiap diantara kamu adalah pemimpin dan akan ditanya kelak tentang kepimpinan kamu di akhirat"

Seorang pemimpin yang adil dan amanah adalah pemimpin yang meletakkan HAK pada tempatnya. Dan doa seorang pemimpin yang adil antara doa dimakbulkan Allah. Semoga hikmah MH370 memberi kita pengajaran terbaik termasuklah buat Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Razak.